Salam kepada semua muslimin dan muslimat dan salam sejahtera pembaca blog yang lain agar anda semua sentiasa dirahmati Allah selalu. Walaupun saya tidak begitu mahir untuk membuat blog, tetapi saya begitu terpanggil untuk membuat satu blog sendiri yang mengandungi doa-doa asas untuk kegunaan saya dan boleh juga kita berkongsi maklumat yang baik. Bukan untuk menunjuk-nunjuk yang saya pandai, tetapi sepanjang pengalaman saya sebagai seorang muslimat dan juga sebagai seorang ibu ia boleh juga digunakan untuk kegunaan dan tatapan anak cucu saya di masa akan datang. Sekiranya saya tiada lagi di dunia ini, tetapi kandungan di dalam ini merupakan saham saya di akhirat. Dalam kesibukan kita mencari harta dan wang dalam bentuk MLM tetapi pahala juga boleh juga dicari dalam bentuk MLM. Apa juga yang ilmu yang baik yang kita ajarkan dan diperluaskan lagi kemudian digunakan oleh insan lain, kita akan mendapat ganjarannya dari Allah, insyaallah. Begitu juga insan di bawah kita, jika ia mengedarkannya kepada insan lain, kita juga akan mendapat ganjarannya. Oleh itu tidak rugi jika kita berbuat demikian.
Untuk makluman, sebelum ini saya tidaklah begitu mengambil berat terhadap doa-doa asas yang digunakan dalam kehidupan seharian. Walaupun saya telah tahu dan patut mengamalkannya, tetapi masih memandang remeh perkara sedemikian. Tetapi apabila saya mempunyai anak, dan anak saya pula semakin membesar dan memasuki alam persekolahan, saya terpaksa menyediakan ilmu dalam diri saya sendiri. Ini adalah disebabkan pernah di suatu ketika, anak saya yang baru bersekolah tadika telah bertanya kepada saya apakah doa untuk memasuki tandas.
Aduh! satu perasaan malu menyelinap dalam diri saya kerana saya tidak begitu hafal doa-doa yang sepatutnya menjadi amalan harian kita. Sebagai seorang ibu dan juga sebagai seorang manusia yang dewasa supaya tidak dipandang rendah oleh anak saya sendiri, maka saya memberitahunya dengan lembut "Nanti ibu ajarkan abang esok ya..ibu tulis besar-besar di kertas kosong, dan ibu tampalkan di daun pintu, bolehlah baca sebelum masuk tandas". Anak saya akur dengan penerangan yang diberikan. Betapa jahilnya saya ketika itu. Sememangnya ada hikmahnya tuhan mengurniakan anak-anak untuk memberikan saya hidayah dan petunjuk jua. Alhamdulillah.... Selepas itu saya pun mencari maklumat doa-doa di internet berserta maknanya sekali dan saya cetak untuk dibawa pulang.
Semasa mendapat cahayamata yang pertama, saya selalu mendendangkan zikir-zikir yang saya tahu semasa mengayun buaian agar anak kita tidur dengan lena. Walaupun suara tak sesedap mana dan lagu pun buat lagu sendiri tapi menjadi satu kemestian untuk saya meneruskan amalan itu sehinggalah anak tidak lagi menggunakan buaian untuk tidur. Jiwa saya pun rasa tenang dan seronok apabila saya selalu mengamalkan zikir-zikir yang sedemikian. Jika dipanjangkan umur, insyaallah saya ingin juga memberikan zikir-zikir yang boleh kita amalkan bersama. Apabila anak dah besar sedikit, saya ajarkan kepada anak saya mengenali Allah yang paling dekat mudah ialah dengan menyebut Bismillah. Nak mulakan apa juga pekerjaan eloklah diamalkan Bismillahirrohmanirrahim. Sambil menyuapkan makanan ke mulutnya, saya sebut Bismillah dan suruh anak saya ikut sekali. Hendak mendukungnya pun sebut Bismillah sebab takut terjatuh. Bila anak sudah pandai menyebut dengan betul, nyatakan kepadanya bila dilafazkan perkataan Bismillah semua syaitan lari, kerana takutkah nama Allah.
Supaya sebutannya betul, eloklah anda lihat hurut-huruf dan baris serta lain-lain yang terkandung dalam perkataan Bismillah.
Yang kedua, doa sebelum makan. Seelok-eloknya dibaca dan diamalkan sebelum makan, tanda kesyukuran kita kepada Allah. Kenapa saya rasa doa ini amat penting untuk doa makan? Ini adalah kerana setiap yang kita makan akan menjadi darah dan daging kita sehingga akhir hayat kita. Jika anda mempunyai internet bolehlah buka di laman ini agar dapat mendengar dengan lebih jelas bagaimana untuk menyebutnya dengan betul.
Sebaik-baik amalan elokkan diamalkan makan bersama-sama keluarga. Ketua keluarga iaitu bapa atau ayah hendaklah membaca doa makan. Tapi telah menjadi amalan orang zaman sekarang menyuruh anak membacakan doa sebelum makan. Bagi saya sebenarnya tidak berapa bagus cara sedemikian, kerana dengan cara sedemikian tidak menunjukkan kepada anak-anak betapa pentingnya seorang ketua keluarga yang sepatutnya memimpin keluarga. Sekiranya bapa atau ayah tiada, bolehlah anak lelaki yang tua menggantikan tempat bapa atau ayah.
Selepas habis menikmati makanan hendaklah membaca doa selepas makan. Bagi anak masih kecil setelah selesai memberikan makanan kepada anak, sebagai seorang ibu bolehlah baca doa ini, kerana lama kelamaan menjadi ikutan dan kebiasaan anak itu melakukannya bila besar nanti. Selepas mengetahui doa sebelum dan selepas makan, bolehlah diamalkan untuk doa sebelum tidur pula. Ada juga terdapat anak-anak yang suka dipeluk sebelum mereka tidur. Oleh itu, sambil peluk anak, bolehlah kita amalkan doa sebelum tidur.
Bagi anak-anak yang besar atau di peringkat remaja hendaklah mengamalkan doa sebelum tidur iaitu surah tiga kul. Satu lagi yangpaling penting jangan lupa mengucap dua kalimah syahadah, kerana ajal dan maut di tangan tuhan...
Setelah anak-anak mengetahui doa sebelum tidur, anak-anak juga perlu mengetahui doa bangun dari tidur. Doa ini perlu diamalkan dalam diri anak-anak untuk menunjukkan kesyukuran kita kepada Allah kerana memberikan kita peluang untuk membuat amalan yang disuruh dan menjauhi perkara yang munkar dan juga untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.